dalam negara
Remaja Ini Membawa Kucing Kesayangannya Menunggang Motor Daripada Shah Alam Ke Ipoh, Kucing Tenang Di Atas Bahu
"TWINY memang suka naik motor duduk di atas bahu saya, kalau letak di bakul motor dia akan lari ke belakang saya semula."
Itu kata Ahmad Mukhriz Shah Ahmad Kamal, 23, selepas gambarnya menunggang motosikal di lebuh raya sambil seekor kucing berada di bahu menjadi tular di laman sosial Facebook, semalam.
Ahmad Mukhriz berkata, gambar itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya wanita kira-kira 10.30 pagi semalam yang teruja melihat gelagat kucingnya yang dinamakan Twiny itu ketika dalam perjalanan pulang cuti Aidilfitri dari Shah Alam ke Ipoh.
Katanya, Twiny yang berusia tujuh bulan itu kucing yang sangat manja sehinggakan makan dan minumnya perlu bersuap.
"Kalau saya tak suap, dia tak mahu makan. Memang manja sehinggakan buang air pun perlu berteman.
"Begitu juga dengan abangnya, Tony. Kedua-duanya sangat manja dan suka naik motor dalam keadaan duduk diam di belakang saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Ahmad Mukhriz, kedua-dua kucingnya itu pernah dibawa menunggang motosikal dari Shah Alam hingga ke Johor Bahru dan tidak banyak ragam serta mudah diurus.
"Bagaimanapun dalam satu perjalanan saya akan bawa seekor demi seekor. Contohnya semalam saya bawa Twiny, hari ini atau esok saya akan ambil Tony pula untuk bawa pulang beraya di Ipoh.
"Saya tidak kisah berulang alik, asalkan mereka ada bersama saya kerana di Shah Alam hanya kami bertiga di dalam sebuah rumah, bagaikan satu keluarga," katanya yang membeli kedua-dua kucingnya itu daripada seseorang ketika baru berusia seminggu.
Menurutnya, sebelum ini dia sudah menyediakan 100 peratus kelengkapan untuk kucingnya bagi menjamin keselamatan ketika menunggang motosikal namun kedua-dua kucingnya tidak selesa dengan peralatan itu.
"Saya sudah menyediakan peralatan khas termasuk beg dan sangkar, namun mereka meronta-ronta untuk melepaskan diri menjadikan saya tidak sampai hati melihat keadaan itu.
"Tetapi selepas melihat mereka lebih selesa di belakang saya dan berdisiplin, saya percaya kepada kucing itu dan yakin untuk meneruskan perjalanan jauh," katanya.
Menurutnya, sepanjang perjalanan bersama Twiny semalam dia berhenti di tiga kawasan rehat iaitu di Tanjung Malim, Tapah dan RTC Gopeng untuk memberi Twiny makan, membuang air serta berehat.
Dia selamat tiba di Ipoh selepas meredah perjalanan selama enam jam 30 minit.
Ahmad Mukhriz berkata, dia tidak sangka gambarnya menunggang motosikal bersama Twiny mendapat perhatian orang ramai sehingga menerima lebih 10,000 perkongsian dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
0 comments: