dalam negara

Ramai yang Mahu Cantik Di Aidilfitri Tapi Berakhir Dengan Kecacatan Muka, Ada 4 Bahan Yang Berbahaya Kepada Kulit Anda, Cek Di Sini

17:20 admin 0 Comments


Tindakan segelintir individu atau syarikat yang menjual produk kosmetik tiruan menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram mengundang risiko kepada pengguna.

Ini kerana kandungan bahan yang terdapat pada produk kosmetik berkenaan tidak dapat dipastikan keselamatannya kerana produk yang dijual tidak mempunyai pelekat keselamatan hologram daripada Kementerian Kesihatan.

Namun, disebabkan harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding produk yang asli, ramai pengguna tertarik untuk membeli produk-produk kosmetik tersebut biarpun mereka sedar bahawa ia adalah tiruan.

Kementerian Kesihatan sebelum ini pernah memaklumkan bahawa terdapat bahan terlarang dijumpai terkandung dalam produk kosmetik tiruan atau yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak mereka iaitu merkuri, hidrokuinon, tretinoin, asid azelik dan steroid.

Menurut Kementerian Kesihatan, bahan-bahan tersebut jika digunakan akan menyebabkan wajah membengkak terutamanya di bahagian mata, bibir dan pipi, kulit menggelupas dalam masa kurang dua hari dan menjadi semakin menipis.

Selain itu, kulit muka terbakar dan kesan jangka panjang pula boleh mengakibatkan kegagagalan ginjal, gangguan mental, parut kekal dan kanser kulit.

Seorang pengguna, Farra Sha Wanne Jumuddin, 25, berkata, dia mula menggunakan kosmetik tiruan pada April tahun lalu.

Katanya, setelah tiga bulan menggunakan produk berkenaan, wajahnya dipenuhi jerawat bernanah dan pedih apabila terkena matahari.

“Disebabkan bimbang dengan perubahan wajah yang semakin teruk, saya berhenti menggunakan produk itu dan segera mendapatkan rawatan di klinik pakar kulit.

“Saya terpaksa membelanjakan ratusan ringgit untuk mendapatkan rawatan di klinik berkenaan untuk menyembuhkan kulit wajah. Alhamdulillah kini wajah saya kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna kosmetik tiruan, Norhidayah Jamaluddin, 23, berkata, akibat mahu kelihatan cantik tanpa mengeluarkan wang yang banyak, dia mengambil jalan mudah membeli kosmetik tiruan daripada laman sosial.

“Banyak produk-produk kosmetik yang saya beli antaranya krim pemutih wajah, lipstik, pemerah pipi dan macam-macam lagi.

“Namun, setelah hampir sebulan menggunakan produk berkenaan saya dapati wajah semakin kusam dan paling membimbangkan timbul jerawat yang banyak.

“Menyedari keadaan tersebut saya segera berhenti membeli produk kosmetik tiruan dan hanya membeli produk yang asli,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi baru-baru ini berkata, pengguna diminta melaporkan segera jika membeli kosmetik tiruan agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap individu atay syarikat yang terlibat.

“Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Selain itu, ia boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut, menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Katanya, penjualan dan pengedaran produk-produk yang mengandungi bahan-bahan terlarang tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tambah beliau, individu yang menjual produk-produk tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE

0 comments: