info

..Di pagi Syawal ini, saya teringin melihat anak-anak bersalaman dengan ayah mereka dan meminta maaf....tapi itu tidak terjadi...

07:07 admin 0 Comments


Pelikkan dunia ini, ada suami macam tak ada suami, ada ayah macam tak ada ayah. Suami pula buat tidak peduli, lebihkan masa dengan isteri dan anak-anak baharu.
Ayah juga sama, macam tidak ada anak lain. Lupa tanggungjawab, lupa nak bagi nafkah anak, lupa yang anak juga hendak beli baju baharu untuk sambut raya.

Agaknya mereka tidak ada perasaan, tak sedih agaknya dengar lagu raya berkumandang di radio dan TV. Tak ingatkan anak-anak, ada baju ke tidak, ada duit ke tidak, beraya di mana?

Akan tetapi jika Allah sudah tutup pintu hati untuk kesemua perkara itu, maka tidak ada lagi yang dapat membantu, berjawablah nanti di akhirat kelak.

Inilah mukadimah saya minggu ini. Kisah yang sangat sedih diluahkan oleh Zai (bukan nama sebenar) tentang hidupnya selepas bergelar ibu tunggal.
Ingin tahu lebih lanjut, kita ikuti kisahnya.
“Saya berusia lewat 30-an, dikurniakan sepasang anak berusia 12 dan 10 tahun ketika saya mendapat status ibu tunggal lima tahun lalu. Puncanya kerana saya tidak mahu dimadu. Saya dijatuhkan talak satu oleh suami.
“Sakit hati, Allah sahaja yang tahu tapi saya reda. Pasrah dengan ketentuan Ilahi. Anak-anak semua di bawah jagaan saya. Suami lepas tangan kerana dia ingin melihat, sejauh mana saya boleh hidup tanpa dia.
“Saya sambut cabarannya itu dengan rasa syukur.
Saya berjanji akan menjaga anak-anak sebaik mungkin dan akan menjadikan mereka manusia walaupun tanpa suami.
“Syukur, sebab saya diberi bakat memasak yang sangat luar biasa. Semua jenis masakan saya tahu dan boleh buat. Tapi saya hanya memilih bidang kuih muih untuk menjadi sumber rezeki saya.
“Sejak berpisah, saya menjual kuih muih kepada jiran tetangga, saudara mara. Saya turut mengambil tempahan. Pada masa yang sama, saya mendalami ilmu kuih muih ini dengan menghadiri kursus dan sebagainya untuk memahirkan diri dalam bidang berkaitan.
“Alhamdulillah, saya menjadi lebih pandai dan kreatif. Saya nekad untuk membuat kuih bagi menyara masa depan saya dan anak-anak. Syukur, anak-anak tidak putus wang belanja untuk ke sekolah. Mereka dapat apa yang mereka mahu seperti anak-anak lain yang ada ayah.
“Sehinggalah mereka ke sekolah menengah, semuanya guna duit jualan kuih muih. Bekas suami langsung tidak pernah ambil tahu, bertanya khabar pun tidak, jauh sekali hendak datang melawat anak-anak.
“Anak-anak nekad tidak mahu bercakap tentang ayah mereka. Saya akur tapi pada masa yang sama, saya nasihatkan supaya mereka menghormati ayah mereka dan mencarinya.
“Saya tidak boleh memaksa anak-anak menyukai ayah mereka sebab mereka tidak ada perasaan kasih sayang kepada ayah mereka yang mengabaikan mereka sejak kecil.
“Dari berjualan di rumah, saya menyewa kedai kerana permintaan yang semakin tinggi. Saya sangat bersyukur. Perniagaan makin berkembang, rezeki kami tiga beranak semakin bertambah.

Anak saudara membantu saya menjual kuih muih itu menerusi talian online. Bisnes saya meletup. Keuntungan berlipat ganda. Saya membeli beberapa mesin tambahan untuk melengkapkan peralatan di kedai milik saya. Makin hari semakin berjaya dan terkenal.
“Saya telah membuktikan kepada bekas suami akan kejayaan saya hari ini. Saya bangga kerana dia pernah mencabar saya. Hari ini, saya telah membuktikannya.
“Apabila terdengar takbir raya, air mata saya berlinang. Semua cerita sedih bersama suami datang semula. Bekas suami mula mengendeng anak-anak, memujuk mereka. Sesekali dia terlajak datang ke rumah atau kedai dengan alasan nak berjumpa saya sebab ada hal.
“Sekarang baharu dia nampak anak-anak. Sebelum ini, mata dia tertutup atau buta? Harap tidak. Sebab Allah Maha Mengetahui dan Mendengar. Saya masih mengharap dia akan berubah dan kembali kepada anak-anaknya.
“Kini anak-anak sudah remaja. Sedang tekun belajar untuk memenuhi impian mereka. Saya tidak pernah kesal dengan kepayahan yang saya tanggung untuk membesarkan mereka.
“Tapi hari ini, di pagi Syawal ini, saya teringin melihat anak-anak bersalaman dengan ayah mereka dan meminta maaf. Saya teringin melihat ayah mereka memeluk mereka, tapi itu tidak terjadi.
“Bergenang air mata saya. Tapi apa nak buat, begitu sudah ketentuan Allah. Saya pasrah dan akan teruskan hidup.
“Pesanan saya kepada wanita yang ditingglkan suami, jangan putus asa. Usaha dan teruskan hidup. Banyak peluang ada di hadapan mata untuk kita pilih. Positif dan maju ke hadapan.
“Dalam kes saya, saya bangga dapat membesarkan anak-anak. Dengan duit buat kuih ini juga, saya dapat beli rumah, kereta dan bawa anak-anak pergi melancong di dalam dan di luar negara.
“Bagi anak-anak, setiap kali musim perayaan khasnya hari raya, mereka sudah tahu, rezeki mereka mewah. Saya akan turut kesemua kehendak dan keinginan mereka. Alhamdulillah, saya selalu yakin dengan kerja Allah. Dia perancang terhebat,” kata Zai menamatkan ceritanya.

Syabas Zai, anda memang hebat. Saya kagum dengan sikap positif anda. Anda telah membuktikan yang kesedihan itu bukan penamat hidup. Malah ia membuka jalan untuk kita lebih muhasabah diri dan berusaha untuk berjaya.

Semoga Zai dan anak-anak sentiasa dirahmati Allah dan hidup bahagia serta dimurahkan rezeki.
Di kesempatan ini, saya menyusun jari sepuluh mohon maaf andai ada catatan saya yang menyinggung perasaan anda semua sepanjang saya berkongsi cerita di sini. Ia tidak disengajakan dan tanpa niat.

Mengundur diri, pesanan ikhlas daripada saya, buatlah sesuatu perkara itu dengan hati dan perasaan kerana ia akan meninggalkan kesan di dalam hati.
Salam Aidilfitri.
Maaf Zahir Batin
malahamzah56@gmail.com

0 comments: