hiburan
© Utusan Melayu (M) Bhd
Sudah Lama Menyepi Diri, Catriona Ros Tampil Memberi Penjelasan.. Ini Yang Lama Beliau Ingin Beritahu
Tiga tahun menyepikan diri daripada dunia lakonan, Catriona Ross mengakui dia menggeletar kerinduan untuk berlakon semula. Minatnya yang menebal terhadap dunia seni tidak mudah luntur begitu sahaja.
Bersua bicara dengan pelakon berdarah kacukan Melayu dan Scotland ini, dia sememangnya seorang yang cukup merendah diri. Tanyalah apa sahaja soalan, dengan lembut dia menjawab satu persatu.
Ditanya sekiranya dia ditawarkan watak tua atau menjadi ibu, pelakon ini sama sekali tidak kisah untuk watak sedemikian. Dia sendiri sedar angka usianya yang menghampiri 40-an tidak sesuai untuk membawakan watak heroin yang muda.
“Bagi saya, watak tua atau mak-mak bukan satu penghinaan ataupun tanda kita semakin dipinggirkan dalam industri, kita kena tengok skrip dan jangan jadi stereotaip apabila menjayakan watak tersebut.
“Pada usia sekarang, tidak logik kalau saya berlakon menjadi heroin berusia 20 tahun. Tidak sesuai rasanya. Jadi, saya selalu berbincang dengan produser untuk menjadikan watak mak-mak lebih menarik daripada kebiasaan.
“Saya tidak kisah kalau orang cakap saya nampak tua dalam drama. Apa yang lebih dirisaukan kalau lakonan saya tidak menjadi. Itu yang lebih menjadi keutamaan,” katanya memulakan bicara.
Dalam usia 36, Catriona masih kekal anggun. Apatah lagi, dia juga berjaya mengurangkan berat badannya sehingga 17 kilogram dalam tempoh lima bulan. Sekali pandang, kalah anak dara!
Mengakui tidak kisah untuk tampil hodoh di layar perak, dia sama sekali tidak mahu menjadikan soal cantik atau tidak sebagai penghalang untuk dia menjiwai watak.
“Saya seronok melihat perkembangan industri seni kita. Ramai pelakon baharu yang berbakat dan mempunyai kelebihan masing-masing. Saya tidak risau dengan persaingan.
“Saya percaya, apa yang mengekalkan kita dalam radar seni adalah kualiti dan disiplin kerja. Bila dapat watak, kita kena hayati betul-betul. Jangan hendak nampak cantik sahaja.
“Saya mahu setiap watak yang dilakonkan memberi kesan kepada penonton, sebab itu saya agak memilih. Tak kisahlah pasal cantik atau buruk ini, yang penting kualiti lakonan,” katanya.
Malah, pelakon Cucu Tauke Beras ini turut memberi pesanan kepada pelakon-pelakon baharu yang semakin meningkat naik. Dia tidak mahu mereka menjadikan bidang lakonan sekadar untuk populariti semata-mata.
“Lakonan bagi saya bukan sekadar satu bidang kerja tetapi minat saya dari kecil lagi. Jiwa saya sudah sebati dengan dunia seni. Sebab itu bila sudah tiga tahun tak berlakon, menggigil rasa.
“Sampai saya ulang tengok drama-drama saya dahulu. Saya mungkin akan berhenti tapi bukan sekarang. Tahun ini adalah satu permulaan yang baik untuk saya kembali berlakon,” katanya.
Buku resipi kurus
Kejayaan Catriona menguruskan badan dalam tempoh lima bulan ternyata memberi inspirasi kepada ramai peminat sehinggakan laman sosialnya dihujani dengan komen dan pertanyaan peminat.
Tidak mahu menghampakan peminat, pelakon ini memberitahu dia bakal tampil dengan buku terbitannya sendiri yang bakal memuatkan tip-tip serta resipi masakan untuk mengurangkan berat badan.
“Insya-Allah buku tersebut akan dilancarkan selepas raya nanti. Sekarang saya masih dalam proses menyusun dan mengumpul bahan. Buku ini pun saya keluar sendiri bukan bawah pihak penerbitan mana-mana.
“Ramai sebenarnya yang bertanyakan apa rahsia saya kurus. Tapi daripada saya jawab satu-satu, baik kita keluarkan buku terus. Ini juga sebagai hadiah kepada peminat,” katanya.
Bakal kembali aktif berlakon bulan Ramadan ini, Catriona mengharapkan kedatangan semula dalam industri memberi sinar baharu dalam kerjaya seninya.
“Sebelum ini saya dapat banyak tawaran tapi terpaksa tolak disebabkan belum bersedia. Saya kena menguruskan anak-anak dan keluarga. Tapi sekarang saya sudah bersedia.
“Lagipun sekarang saya sedang giat bersenam di gimnasium untuk persiapan berlakon. Saya pun kalau boleh tidak mahu tampil berisi. Rindu sangat hendak berlakon,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments: