hiburan
Noryn Aziz Kongsi Kehidupan Sekarang Dan Membongkar Rahsianya Berjuang Selama 4 tahun Untuk Dapatkan Anak.. Mungkin Anda Boleh Amalkan Ini
APABILA sebut nama Noryn Aziz, pasti peminat akan terimbau zaman kegemilangan muzik jazz yang mempunyai pengikut tersendiri. Sememangnya, penyanyi ini cukup hebat dalam gelanggang jazz tanah air.
Namun dia sendiri mengakui, namanya mungkin popular tetapi tidak lagu-lagunya. Dia juga sedar yang peminat hanya mengenalinya sebagai seorang penyanyi yang hebat.
Mahu tidak mahu, dia perlu kembali mencari rentak dalam meneruskan minat seninya.
Setelah beberapa tahun menyepikan diri daripada dunia seni, kini penyanyi bersuara emas itu bersedia untuk mendaki kembali takhtanya.
Bakal tampil dengan single baharu tahun depan, penyanyi berusia 39 tahun ini sebenarnya sedang ligat mencari siapakah komposer dan produser yang mampu menyempurnakan impiannya untuk kembali ke gelanggang.
Mengakui tidak mahu tertekan untuk mencari lagu yang sesuai, Noryn juga ingin mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan apabila bakal tampil dengan muzik yang bergenre pop.
Malah dia sendiri mengakui keliru dengan perkembangan muzik yang semakin hari semakin bercelaru dengan kebangkitan lagu-lagu 90-an dan juga lambakan muzik moden yang terus mendapat tempat.
“Memang saya ada berniat untuk tampil dengan single baharu cuma susah nak cari lagu yang sesuai. Saya ingin kembali dengan satu penjenamaan semula yang lebih segar dan berkualiti.
“Sebab itu saya sedang mencari lagu-lagu berentak pop yang kena dengan trend muzik sekarang. Jangan risau, elemen jazz tetap ada kerana saya menyanyikan lagu-lagu bergenre begitu.
“Suara dan cara nyanyian saya sendiri memang jazz, jadi takkan hendak terus tukar kepada pop, kan? Cuma saya perlu ikut rentak irama muzik tanah air. Ada yang suka muzik moden dan ada yang suka lagu-lagu 90-an,” katanya.
Tidak hanya peminat yang kerap kali bertanyakan soal single baharu malah Noryn sendiri mengakui dia terlalu rindu untuk kembali beraksi melontar vokal di atas pentas.
Namun dia juga kerap kali menekankan soal kualiti nyanyian yang kini dilihat semakin dipandang ringan oleh penyanyi-penyanyi baharu khususnya. Baginya, nyanyian itu adalah seni yang mencerminkan siapa kita sebenarnya.
“Sebagai penyanyi, kita kena sentiasa belajar. Nyanyian adalah kraf dalam seni. Memang kalau kita tengok sekarang menyanyi di laman-laman sosial juga boleh mencuri hati peminat.
“Bagi saya, itu rezeki mereka dan saya suka dengan perkembangan tersebut. Cuma paling penting adalah bagaimana untuk kita kekal berada dalam roda seni yang sentiasa ada turun naiknya.
“Sebab itu kita kena belajar. Saya sendiri sentiasa mempelajari teknik nyanyian baharu lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak. Nada suara juga sekarang sudah lain, jadi saya kena cari jalan untuk perbaikinya,” katanya.
Anak itu rezeki Allah
Tentang kehidupan peribadinya, Noryn mengakui bahagia menjalani kehidupan kini. Kasihnya terhadap suami dan anak membuatkan dia terus kuat serta sentiasa menjadi yang terbaik.
Yang benar-benar berbeza kini adalah penyanyi itu semakin langsing dan tampak kekal muda biarpun usianya hampir menjejaki angka 40. Sekali pandang, pasti orang akan ragu betulkah itu adalah Noryn Aziz.
“Memang sekarang saya diet. Dulu lepas bersalin susah hendak turun badan, jadi bila anak sudah besar ini masa dan peluang terbaik untuk saya menjaga penampilan diri.
“Adalah buat senaman sikit, jaga makan. Lagipun usia sudah meningkat, jadi kena pandai jaga kesihatan. Selain nak nampak cantik, kita kena jaga kesihatan diri,” katanya.
Malah Noryn juga mengakui tidak berhasrat untuk menambah seorang lagi cahaya mata.
Jelasnya, dia sedar faktor usia sedikit membataskan malah dia juga mencuba hampir empat tahun untuk mendapatkan cahaya mata sulungnya, Raja Bariq Umar Shah.
“Tambah anak? Alamak, mungkin tidak kot. Saya mencuba hampir empat tahun untuk dapatkan anak sulung tetapi kalau ada rezeki saya tidak dapat menolak. Kalau tidak ada, tidak mengapa.
“Saya tidak malu untuk mengakui saya telah mencuba pelbagai cara untuk dapatkan anak. Sebab itu adalah pengalaman yang mungkin ada orang hendak tahu. Dulu mungkin tabu tapi sekarang tidak lagi,” katanya.
Bukan mudah buat album
Melihat trend industri muzik, ramai artis senior mula tampil dengan album penuh. Baik Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah, masing-masing kembali rancak ‘bersaing’.
Ditanya tidakkah ini masa yang sesuai untuk Noryn tampil dengan album baharu, dia mengakui, bukan mudah untuk menghasilkan peti himpunan karya yang menjadi penyambung jenamanya dalam dunia seni.
“Sebelum ini saya terlalu mementingkan soal teknikal apabila buat album. Mungkin sebab saya belajar muzik, jadi bila buat album bab teknikal dan kualiti menjadi keutamaan.
“Tetapi saya tidak lihat itu sebagai satu kesilapan. Cita rasa masing-masing untuk menilai album terdahulu. Cuma kalau hendak buat album ini bukan mudah, banyak benda kena dipertimbang.
“Lagipun kali ini, kalau buat album saya mahu buat yang lebih komersial untuk mudah diterima pendengar. Tidak terlalu teknikal dan hanya boleh diterima oleh segelintir pihak,” katanya.
Namun ibu kepada seorang anak ini menolak persepsi dia ‘terpaksa’ mengikut trend muzik kini.
Baginya objektif utamanya adalah untuk pendengar mengenali dirinya menerusi lagu.
“Saya memang seorang penyanyi jazz dan lagu-lagu itu dikatakan terlalu urban serta tidak semua boleh menerimanya. Sebab itu saya ingin mencuba sesuatu yang baharu tetapi jiwa jazz akan tetap ada.
“Bukan terpaksa ikut trend tetapi kalau boleh biarlah peminat kenal saya melalui lagu. Orang tahu siapa saya, mereka tahu saya boleh menyanyi tetapi apabila tanya lagu saya, terus diam membisu,” selorohnya.
0 comments: